14 March 2014
Pendekatan Proses Dalam Pengajaran Penyelesaian Masalah Matematik
Salam 1 Malaysia,
Pendekatan pengajaran bermaksud cara bagaimana sesuatu bahan atau aktiviti
pelajaran disampaikan berdasarkan kepada objektif pengajaran (AbuHassan Kassim
dan Meor Ibrahim Kamaruddin 2006). Contohnya pendekatan konstruktivisme,
pemusatan pelajar, pemusatan bahan dan sebagainya.
Penyelesaian masalah merupakan satu kaedah praktis yang bertujuan untuk
menjana idea-idea bernas supaya dapat membentuk pelbagai penyelesaian yang
lebih praktikal dan efektif (Sarimah & Abreza 2011).
Maka, pendekatan proses dalam pengajaran penyelesaian masalah matematik
merupakan satu tindakan yang diambil oleh guru dalam menyampaikan aktiviti
pembelajaran yang dapat mencapai objektif dalam menyelesaikan masalah
matematik.
Dalam memastikan pembelajaran berkesan boleh dicapai melalui penyelesaian
masalah, seseorang guru perlu memastikan aktiviti yang dijalankan mestilah
menjurus kepada objektif pengajarannya. Dengan cara ini, penguasaan murid dapat
ditingkatkan.
Sesuatu pendekatan pengajaran perlu berlandaskan kepada model
atau prinsip pengajaran misalnya
daripada konsep konkrit kepada konsep
abstrak dan sebagainya. Proses P&P yang dijalankan di
dalam kelas perlulah beransur-ansur dan mengikut tahap kesukaran
pelajar supaya pelajar mudah mengikuti penyampaian isi kandungan
pelajaran. Kaedah yang telah dirancang dengan
baik akan membawa hasil prestasi yang dikehendaki (Abdul Razak bin Idris
& Nor Asmah binti Salleh 2011). Dan Jika seseorang guru
ingin melaksanakan teknik atau kaedah yang baru dalam pengajarannya,
mereka perlu memastikan kaedah tersebut mudah untuk dilaksanakan di dalam kelas
dan sesuai untuk membantu pelajar menyelesaikan sesuatu masalah yang
timbul dalam pembelajaran mereka.
Menurut Krulik dan Rudnick (1989), penyelesaian masalah merupakan satu
proses yang kompleks dan sukar dipelajarinya. Ia mengandungi satu siri tugasan
dan proses pemikiran yang dihubungkait rapat untuk membantu pembentukan satu
set heuristik atau corak heuristik. Ia merupakan satu set cadangan dan soalan
yang harus dilalui oleh pelajar untuk membantunya dalam penyelesaian masalah.
Heuristik adalah kaedah umum yang dapat diaplikasikan kepada semua kelas
masalah.
Terdapat beberapa model penyelesaian masalah yang sering digunakan dalam
pendidikan matematik seperti Model Lester (1975), Model Mayer (1983), Model
Polya (1973) dan Model Schoenfeld (1985). Model Polya digunakan di sekolah
dalam kurikulum matematik bagi Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan
sekolah rendah (KBSR). Menurut Noor Shah Saad (2005: 182), Model Polya
merupakan model penyelesaian masalah Matematik yang dibina oleh George Polya.
George Polya telah memperkenalkan satu model penyelesaian masalah dalam bukunya
‘How to Solve It’ yang memberi tumpuan teknik penyelesaian masalah yang menarik
dan juga prinsip pembelajaran matematik dapat dipindahkan sebaik mungkin.
Model ini membabitkan empat fasa utama iaitu:
i) Memahami dan mentafsir sesuatu masalah
ii) Merancang / membentuk rancangan penyelesaian
iii) Melaksanakan peneyelesaian
iv) Menyemak semula
Subscribe to:
Posts (Atom)
Tentang Saya
Seorang yang mudah menerima perubahan sekeliling, mesra dan ceria. Sikap ingin tahu, suka mencuba dan bereksperimen menjadikan inovasi sebagai satu medium untuk membantu murid-murid khususnya. Yakin dan berani mencuba dalam apa juga bidang termasuklah bidang yang baru dan terkini. Kreatif dan Inovatif telah terbukti menjadi sebahagian daripada resipi kejayaan menjadi Guru Inovasi pelbagai pertandingan yang diikuti. Suka dan gemar berkongsi maklumat terutamanya dalam bidang pendidikan menjadikan semangat dalam berkarya.