Pencemaran berpunca daripada cecair tapak
pelupusan sisa pepejal (Landfill Leachate) merupakan sumber pencemaran bertitik.
Ini kerana tapak pelupusan sisa pepejal hanya menyalurkan bahan pencemar dari
lokasi tertentu yang mudah dikenal pasti. Titik penyaluran bahan pencemar air
adalah seperti paip, longkang dan parit.
Terdapat banyak parameter atau bahan pencemar
daripada Landfill Leachate yang boleh menyebabkan pencemaran air yang serius.
Antaranya adalah seperti nitrogen dan fosforus yang boleh menyebabkan
kemusnahan ekosistem. Selain itu, asid dan bahan logam hasil daripada cecair
sisa pelupusan juga boleh menyebabkan masalah kesihatan kepada manusia dan
haiwan.
Sisa
kumbahan merupakan sumber yang kaya dengan nutrien seperti nitrogen dan
fosforus. Biasanya nitrogen adalah komponen penting dan penjanaan tisu dan
sintesis protein dalam sel tumbuhan termasuk sel alga. Fosforus juga diperlukan
dalam penjanaan tenaga melalui cahaya matahari oleh sel tumbuhan dan alga.
Namun begitu, Dalam hal pencemaran air, nitrogen dan fosforus sering dikaitkan
dengan pencemaran air kerana kandungan nitrogen dan fosforus yang berlebihan di
dalam air boleh mengganggu kestabilan ekosistem sesuatu sumber air melalui
pertumbuhan sel alga secara berlebihan. Sumber air yang mengandungi kepekatan
nutrien dan alga yang tinggi dikatakan mengalami proses eutrofikasi. Kepekatan
sel alga yang tinggi di dalam air dikenali sebagai alga bloom dimana air akan
berwarna hijau dan berbau busuk yang akan mengurangkan nilai estetik sumber air
tersebut.
Bahan kimia tidak organik
yang paling membimbangkan adalah logam berat seperti merkuri, plumbum, kadmium,
selenium dan arsenik. Bahan logam berat ii sangat bahaya walaupun wujud pada
kepekatan yang rendah di dalam air. Proses Bioakumulasi boleh menyebabkan
kehadiran logam berat yang sangat tinggi dalam tumbuhan dan tisu haiwan seperti
ikan yang boleh menyebabkan masalah kesihatan kepada manusia jika memakan
tumbuhan dan ikan yang hidup dalam air yang dicemari oleh logam berat. Asid
juga boleh menyebabkan kesan negatif kepada kesihatan sekiranya wujud dalam
kepekatan yang tinggi. Asid akan menurunkan nilai pH air dan boleh mengganggu
kestabilan ekosistem akuatik.